CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Followers

Tuesday, December 9, 2014

Irdina mengira

Assalamualaikum.

Setiap hari Ummi menikmati saat-saat indah bersama Abah dan anak-anak. Sungguh anak pada umur sekarang (2 dan 3 tahun) adakalanya punyai tantrum yang menguji kesabaran. Ummi terkadang marah-marah juga. Namun masa yang ada cuba Ummi manfaatkan sebaiknya. Menyayangi dan mengasihi, bergurau senda, beraktiviti bersama. Semua itu akan menjadi kenangan yang tersimpan indah di dalam kotak memori.

Tengahari tadi, Ummi lihat Irdina duduk di sebelah Abah sambil mengira nombor satu hingga sepuluh.

"Satu..Dua..Tiga..Empat..Lima..Enam..Tujuh..Sembilan..Sepuluh".

"Eh, lapan mana"? Ummi bertanya.

Jawab Irdina, "Hilang".

Hahaha. Ketawa Ummi mendengarnya. Bijak sungguh anak Ummi. Laju saja jawab bila ditanya. Ummi tak pernah mengajar Irdina secara fokus. Ilmu yang Irdina dapat adalah hasil pemerhatian dan curi dengar bila Ummi mengajar abang Fateh. Cekap! Alhamdulillah. Irdina juga nampak sangat berminat bila Ummi mengajar abang Fateh membaca Iqra'. Maka Ummi ajarkan juga pada Irdina bermula muka surat pertama.

image

Irdina. 1 Tahun 11 Bulan.

Ummi.
1 Disember 2014.

Saturday, November 29, 2014

Ujian yang harus ditempuhi

Assalamualaikum.

Seperti yang kita semua maklum, kanser adalah pembunuh senyap. Kita nampak sihat. Namun pada hakikatnya kita sedang sakit. Pesakit kanser tidak boleh membiarkan diri mereka tertekan. Kerana stress boleh membuatkan sel kanser menjadi semakin aktif. Dan kanser akan merebak dengan cepat.

Dalam situasi Ummi, bila ummi rasa sedih, atau nak marah, hatta stress tanpa diketahui sebabnya pun, Ummi akan sakit. Tempat yang sakit itu akan berdenyut-denyut atau terasa bagai dihiris-hiris. Allahuakbar. Hanya Allah yang tahu betapa Ummi berusaha melawan rasa sakit itu. Sakit yang teramat sangat! Kadang-kadang bila anak-anak menjeri, anak-anak tak mahu dengar dan ikut apa yang Ummi cakap, sakit itu akan mula menyerang Ummi.

Keadaan ini menyebabkan Ummi terpaksa menghantar dan meninggalkan anak-anak di rumah Opah.
Maafkan Ummi sayang~
Ummi sayang kalian.
Ummi kasihankan kalian. Terpaksa duduk dengan orang lain. Kurang belaian dan kasih sayang dari Ummi.
Tapi adakalanya Ummi tak sanggup nak menanggung rasa sakit ini.
Maafkan Ummi.
Doakan Ummi segera sembuh.
Supaya Ummi boleh memeluk dan bermain dengan kalian sepuas-puasnya. Jom sama-sama berdoa. Agar Allah kurniakan kita sekeluarga kesihatan yang baik. Jadi hambaNya yang taat dan sentiasa berada di bawah rahmat serta kasih sayangNYA.
Amin. Amin. Amin.

Ummi sayang kalian kerana Allah. Ummi harap kalian juga sayang Ummi dan Abah kerana Allah.

image

Irdina yang solehah dan Daniah yang solehah.

image

Abang Fateh yang bijak dan penyayang.

Ummi.
5.13 PM.
28 Nov 2014.

Tuesday, November 25, 2014

Mak Chik

Assalamualaikum.

Mak Chik ialah adik Ummi yang nombor lima. Antara adik yang rapat dengan Ummi. Sebelum mak chik kahwin dulu Ummi selalu berangan-angan nak tengok mak chik kahwin. Tak tahulah kenapa. Ummi rasa tak sabar nak tengok mak chik berteman. Ummi rasa kasihan dan takut mak chik sunyi. Dari situ mulalah Ummi dan Abah kenenkan mak chik dengan orang orang yang kami rasa sesuai dan baik untuk mak chik. Lepas sorang..sorang kami cuba kenenkan. Tapi tak menjadi.

Sampailah satu masa tu Ummi dan Abah pergi program kat KL. Kami cuba kenalkan mak chik pada seseorang. Mak chik sendiri tak sedar apa yang Ummi dan Abah cuba buat. Dan tanpa kami sedar juga, sebenarnya seseorang sedang merisik mak chik melalui Aki (ayah ummi). Aki suruh hamba Allah tu tengok mak chik dekat program tu. Tengok dengan tujuan nak kenal orangnya macamana, sedap dipandang ke tidak, berkenan di hati ke tidak. Sebab hamba Allah tersebut langsung tak mengenali mak chik dan mak chik sendiri pun tidak mengenali beliau.

Semuanya menjadi rahsia sehinggalah hamba Allah tersebut bersetuju untuk memperisterikan mak chik. Dua kali dia datang ke rumah Aki bersama mas'ulnya untuk bertaaruf dengan mak chik. Masa berlalu dengan sangat pantas. Dalam masa yang singkat, mak chik ditunangkan dan seterusnya dinikahkan dengan si pemuda yang kami panggil Azam.

image

Mak chik di hari pertunangannya.
8-2-2014
Allah yang Maha Kuasa menghadirkan rasa cinta dalam hati kita walau kita tak kenal siapa tunangan kita.

Semasa dalam tempoh pertunangan, mak chik tetap tidak berhubung dengan tunangnya kecuali melalui email. Itupun melalui orang tengah. Setiap email yg dikirim akan dibaca oleh orang tengah tersebut. Dan email hanya berkisar tentang perbincangan majlis walimah yang bakal berlangsung.

image

Alhamdulillah. Mak chik selamat dinikahkan oleh Aki pada 19-4-2014.

image

Tempoh pertunangan yang singkat.
Namun mak chik yakin dengan penyusunan Allah. Mak chik yakin dengan jodoh yang telah ditetapkan Allah untuknya.

image

Percintaan mereka bermula di sini.
Kegembiraan jelas terpancar di wajah masing-masing :)

image

Upacara sword bearer.
Majlis di rumah pengantin lelaki pada 6-9-2014.

image

Bersama rakan-rakan dan ibubapa pengantin kedua belah pihak.

Sunday, November 23, 2014

Ummi dan kanser

Assalamualaikum.

Masa mula-mula doktor sahkan Ummi positif kanser tahap 3, Ummi terdiam. Hilang kata-kata. Ummi tak tahu ummi nak senyum atau nak menangis. Ummi rasa dunia ummi gelap. Macam-macam fikiran negatif berlegar-legar dalam kepala ummi. Allahuakbar. Padahal ummi dah prepare dari awal. Sejak dulu lagi, sebelum ummi kahwin, sebelum ummi kenal Abah, ummi dah tetapkan dalam hati. Suatu hari nanti ummi kena terima dengan lapang dada sekiranya ummi mendapat penyakit ini.

Kenapa?
Sebab dua orang makcik ummi disahkan menghidap kanser. Ummi selalu ingatkan diri sendiri. Ummi kena bersedia. Ummi kena positif. Ummi selalu google dan cari maklumat mengenai kanser di internet. Sebab itu ummi ambil langkah awal bila dapati ada kelainan pada diri ummi. Namun Allah itu maha berkuasa. Kanser memang pembunuh senyap. Ummi yang selama ini nampak sihat dan ceria hakikatnya sudah berada di tahap ketiga kanser.

Ya. Awalnya ummi hilang kata-kata. Ummi tak sangka, akhirnya benar telahan ummi. Tapi Allah itu benar-benar maha pengasih lagi maha penyayang. Abah terima berita ini dengan sangat sangat sangat positif. Beberapa minit selepas keluar dari bilik doktor Abah terus tak henti henti memberi kata semangat kepada Ummi. Abah cari jalan supaya ummi tidak stress dan kembali ceria. Abah sentiasa di sisi Ummi bila ummi down. Abah siapkan semua kerja yang sepatutnya ummi settlekan di rumah. Abah jaga ummi sepenuh jiwa raga abah walaupun abah pernah cakap, abah tak mampu jaga ummi kalau Allah izin ummi sakit. Abah urus hal anak-anak seorang diri. Abah bawa ummi ke sana ke mari untuk berubat. Allahuakbar..

Allah jadi saksi Abah berbuat baik kepada ummi. Allah jadi saksi Abah berbuat baik kepada anak-anak. Allah jadi saksi Abah menunaikan tanggungjawabnya dalam keadaan yang sangat menekan.

Alhamdulillah..
Hari ini ummi kembali ceria. Sudah boleh bergurau-gurau. Ramai yang tanya ummi,
"Aisyah dah sihat ke"?
Sebab orang nampak ummi macam sihat. Tak macam orang sakit. Hehe. Sebenarnya ummi sakit. Sangat sakit. Tapi ummi tak tunjuk di depan orang.

Ummi ambil ubatan homeopati. Menurut doktor, ummi tak boleh dibedah. Sebab sel kanser akan merebak kalau terkena alatan besi. Seperti yang kita tahu, homeopati bukan menahan penyakit, tetapi mengeluarkannya. Sebab itu ummi bertambah sakit. Ubat tu dah mula bertindak mengeluarkan nanah dan darah dari tumor dalam badan ummi. Kadang-kadang ummi sampai tak tidur malam kerana menahan sakit. Ummi sebolehnya tak mahu ganggu tidur Abah. Tapi sakit ini ada ketikanya membuatkan ummi menangis hingga menyebabkan Abah terjaga. Abah peluk ummi. Abah usap tangan ummi untuk mengurangkan kesakitan yang ummi rasai. Terima kasih Abah. Syurgalah tempat suami sebaik Abah.

Walaupun sakit, ummi yakin dengan jalan yang ummi pilih. Sejak dulu lagi keluarga ummi memang pengamal homeopati. InsyaAllah, ada rezeki sembuhlah ummi. Kalau tak ada rezeki, ummi redha. Walau apa pun, Ummi positif yang ummi akan sembuh. Kalau boleh ummi nak lihat anak-anak syurga ummi membesar sihat dan menjadi anak-anak yang soleh lagi musleh. Anak-anak yang sentiasa mendoakan untuk Ummi dan Abah. Yang banyak memberi sumbangan untuk Islam. Aminn.

image

Ummi dan kakak Irdina di Bird Paradise, Langkawi. -17.11.2014-

Monday, November 10, 2014

Perkembangan anak-anak syurga Ummi

Assalamualaikum.

Blog ummi semakin sunyi. Semakin kurang pengunjungnya. Membuatkan Ummi rasa mungkin ini peluang untuk Ummi menulis lebih banyak tentang anak-anak. Kuranglah sedikit rasa segan sebab tak ramai yang baca. Ummi harap anak-anak dapat mengingati dan mengenali Ummi melalui pembacaan di blog ini andaikata Ummi sudah tiada suatu hari nanti.

Fateh Arraziq. Anak ummi yang pertama.
Ummi tahu kamu abang yang soleh. Perlu selalu mengalah dengan adik-adik ya!
Sekarang Fateh sudah 3 tahun 10 bulan. Sudah sangat petah berkata-kata. Dan memahami setiap arahan Ummi dan Abah dengan jelas. Ummi kagum sebab sekali pun fateh tak pernah menyakiti adik Daniah. fateh jaga adik Daniah dengan sangat baik. Senang kata Fateh sudah boleh diharap. Tidur pun peluk adik :)
Ummi harap Fateh boleh menyayangi dan melindungi Irdina begitu juga.

Irdina. Anak kedua Ummi.
Kini berusia 1 tahun 11 bulan. Juga semakin petah dari sehari ke sehari. Suka mengajuk percakapan orang lain. Sampai membuatkan Ummi dan Abah tergelak. Sebab suaranya yang halus dan kecil. hehehe.. Irdina sayangkan adik Daniah. Tapi belum pandai mengekspresikannya dengan cara yang betul. Tak apa sayang. Nanti dah besar kamu akan pandai macam abang. Boleh jaga adik sementara Ummi selesaikan kerja-kerja Ummi. Walaupun dah jadi kakak, Irdina masih sangat manja. Kuat mengadu tau..hehe. Kadang-kadang abang buat sikit aje. Dia yang menangis lebih-lebih nak tarik perhatian Ummi. Pandai Irdina ya.

Daniah. Anak ketiga yang sihat dan bulat.
3 bulan sudah. Alhamdulillah. Walaupun Ummi tak sihat, Ummi masih mampu menyusukan Daniah sepenuhnya. Sampai demok dan bulat dan tembam anak Ummi yang sorang ni. Ummi bahagia :) :) Moga kebahagiaan ini berpanjangan. Amin. Daniah sangat kuat bersembang. Suka panggil-panggil Ummi kalau dia tinggal sorang-sorang. Ummi ingatkan nak susu. Bila ummi datang terus dia tersengih-sengih. Oooo nak bersembang rupanya. hehehe. Mudah diagah juga. Abah pernah agah sampai Daniah ketawa. Ummi pun mengekek-ngekek ketawa. Seronok sangat tengok anak ceria :D

Ok tak boleh nak menaip lebih panjang. Irdina dah mengajak ke tandas. Pampers dah penuh katanya. hehe. Inilah Irdina. Suka ajak mandi dan tukar pampers.

Ok lah anak-anak. Nanti Ummi tulis lagi ya.
Assalamualaikum :)

Tuesday, October 7, 2014

Bersyukur jadi insan terpilih.

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Ambil masa sedikit untuk menulis malam ini. Anak-anak dan suami sudah lena dibuai mimpi.

Lama saya tak menjenguk ke sini. Dalam tempoh itu bermacam perkara yang saya lalui. Ada yang manis. Ada yang pahit. Alhamdulillah. Tanpa yang manis, kita tidak akan merasa kepahitan. Tanpa kepahitan, kita tak akan sedar adanya kemanisan :)

24 julai 2014 bersamaan dengan 27 Ramadhan, kami dikurniakan seorang lagi anak perempuan. DANIAH. Lahir di hospital besar Ipoh pada jam 9.23 malam. Alhamdulillah. Dalam 3 kelahiran, yang ketiga ini adalah yang paling mudah buat saya. Sakit dalam masa yg singkat, dan dengan izin Allah saya selamat melahirkan. 20 minit sahaja tempoh saya berada di dalam labor room.

Saya mula berasa sakit pada jam 6 petang. Tidak kerap. Tapi agak kuat. Namun saya masih boleh berjalan-jalan di bazar ramadhan mencari juadah untuk berbuka. Beberapa kali saya berhenti kerana sakit hingga tak mampu melangkah. Jam 7, kami naik kereta. Sakit datang 10 minit sekali. Suami tanya, nak balik ke rumah atau terus ke hospital? Saya jawab, saya belum mahu beranak lagi. Ini sakit perut nak berak aja. Serius. Sakitnya tak sama dengan yang pertama dan kedua dulu. Maka kami pun pulang.

Jam 7 lebih, kami hampir tiba di rumah. Sakit makin kuat. Kami ambil keputusan untuk ambil adik saya dan anak-anak di rumah dan dibawa ke rumah mertua. Setibanya di rumah mertua azan maghrib pun berkumandang. Saya yang menahan sakit 7 minit sekali segera berbuka sekadarnya. Betul-betul makan sekadarnya sebab dah hilang selera.

Jam 8 lebih selesai sahaja suami solat terus saya ajak ke hospital. Suami memecut laju kereta kembara yang sangat banyak berjasa kepada kami. Ketika hampir tiba ke hospital, saya maklumkan pada suami yang saya berasa seperti mahu meneran. Suami ingatkan, "Kalau sakit jangan pegang lengan saya ya. Sebab saya tengah drive. Bahaya."

Tiba di hospital, kami terus meluru masuk ke bahagian saringan. Doktor  dipanggil untuk buat VE. Sudah 7cm. Saya dimasukkan ke labor room. Belum sempat drip air, saya sudah rasa seperti mahu meneran sangat-sangat. Dengan 3 kali teran alhamdulillah lahirlah puteri ketiga kami dengan berat 3kg. Dalam pada itu, suami masih menunggu di luar menyangka saya masih belum melahirkan kerana tidak dimaklumkan oleh sesiapa.

image

Dia hanya tahu selepas dimaklumkan oleh saya menerusi sms :)
Dan disebabkan berbuka ala kadar sahaja tadinya, maka kelaparanlah saya pada malam itu. Jam 12 malam baru nasi panas tiba bersama dengan lauk ikan bilis goreng dengan bawang. Inilah lauk saya dalam tempoh 2 minggu pertama berpantang. Semata-mata! Gara-gara tak mahu anak terkena kuning. Hehe.

Selesai kisah melahirkan.

4 hari sebelum habis berpantang, saya disahkan pula oleh doktor pakar menghidap sakit kanser. Saya hilang kata-kata. Namun sangat sangat sangat bersyukur kerana suami sangat positif dan memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada saya. Tak putus-putus dia meyakinkan saya bahawa Allah yang memberi ujian, Dia jugalah yang akan memberi pertolongan.

Terima kasih Sayang.

Ya Allah, Kau saksikanlah sesungguhnya suamiku telah berbuat baik kepadaku saat aku diuji olehMu.

Tak jemu-jemu suami membawa saya ke sana ke mari untuk berubat. 2 minggu berturut-turut berulang ke johor. 2 minggu yang seterusnya berulang pula ke kuala lumpur. Kemudian bawa pula saya dan anak-anak pulang ke Pahang bertemu keluarga. Dengan izin Allah saya demam panas setibanya di Pahang. Suhu badan sangat panas sehingga saya kekejangan beberapa kali. Suamilah yang menjaga saya sepanjang tempoh 4 hari saya jatuh sakit. Subhanallah... Saya teringat suami pernah melafazkan, "Kalau awak jatuh sakit, saya mungkin tak mampu nak jaga awak. Saya tak pandai menjaga orang sakit."
Hari ini telah terbukti...suami saya mampu menjaga saya saat saya sakit. Dia tinggalkan segala kerja dan mengambil berat tentang diri saya.

Ya Allah, Kau sediakanlah tempat yang istimewa di syurga buat suamiku.

Positifnya saya hari ini, disebabkan adanya sokongan dari suami. Tak lupa juga insan-insan terdekat.
Terima kasih Allah.
Terima kasih Sayang.

InsyaAllah, saya akan terus berjuang melawan penyakit ini.
Saya yakin, Dia yang memberi sakit, bila-bila masa Dia boleh sembuhkan. Ujian ini buat kita lebih beringat. Mati itu pasti. Namun sejauh manakah persediaan yang sudah kita buat?

image

Daniah saat baru dilahirkan.

image

image

Daniah hari ini :)

Thursday, August 28, 2014

Resepi: Mashed Potato

Kalau orang lain pergi KFC sebab nak beli ayam goreng dengan rempah rahsianya, saya tidak. Saya lebih gemarkan mashed potato. Dan cheezy wedges tentunya. Untuk ayam goreng, saya lebih suka yang dijual di pasar malam. Jauh lebih sedap!

Sebenarnya bertahun jugak saya dok cari resepi mashed potato ni. Dah ada pun resepi orang bagi. Tapi tak berkeyakinan nak buat. Akhirnya beberapa hari lepas suami pm resepi kat facebook sebab nak suruh saya buat. Barulah keyakinan dan kesungguhan tu datang. Hehe. Tapi saya tak guna resepi yang suami bagi tu sebab tak lengkap resepinya. Saya cari resepi lain dan risik-risik juga dari kawan yang pernah buat. Dan alhamdulillah, hasilnya sungguh memuaskan.

image

Puas hati dapat makan yang buat sendiri. Boleh letak gravy banyak mana yang kita suka. Banjir pun takpe. Hehehe.

Ok jom tengok resepinya. Sebenarnya kalau google, semua orang pun guna resepi yang hampir sama.

MASHED POTATO
Bahan untuk kentang lenyek:-

5 biji Kentang (saiz sederhana)
2 SB Butter (nak bubuh 3 sudu pun boleh. Terpulang. Saya tak berapa suka kalau kuat sangat rasa butter tu)
Sedikit garam
Lada Hitam / Lada Sulah
Fresh Milk / Full Cream (saya guna fresh milk)

Cara-caranya:

1) Buang kulit kentang, potong sama besar dan rebus bersama sedikit garam. Garam jangan banyak sangat sebab gravy nanti cukup masin juga. Kalau dua-dua masin karang terlebih masin pulak jadinya. Air rebusan cukup sekadar menenggelamkan kentang. Jangan terlampau banyak ye.

2) Bila kentang dah empuk, anggaran masa rebusan dalam 20 minit macam tu, tutup api dan toskan kentang tadi. Saya masukkan kentang dalam tapis dan biarkan lebih kurang dalam 10 minit. Kena toskan betul2 sebab taknak kentang lenyek kita karang terlalu lembik.

3) Lenyek kentang sampai betul-betul hancur semuanya. Kalau ada food processor bolehlah digunakan. Cepat siap. Saya lenyek guna garpu saja.

4) Masukkan susu sedikit demi sedikit. Yang ni agak-agak je jangan banyak sangat. Fungsi susu nak bagi kentang kita rasa berlemak. Kemudian bolehlah masukkan butter, lada hitam dan lada sulah. Gaul semua bagi sebati.

Ok siap. Ketepikan dulu. Jom buat gravy dia pulak.

Bahan untuk gravy:

1 biji Bawang Besar (saiz sederhana) - potong dadu
2 ulas Bawang Putih - potong dadu
3 SB Butter
2 SB Tepung Jagung (bancuh dengan sedikit air)
2 1/2 cawan Air
1 Kiub Ayam Knorr / Stok Ayam / Perencah Hilal secukup rasa (kalau guna perencah hilal kena tambah garam sikit. Secukup rasa)
Lada Hitam / Lada Sulah

Cara-caranya:

1) Cairkan butter dalam kuali. Api sederhana, jangan kuat sangat. Tumiskan bawang putih dan bawang besar bersama sehingga bertukar warna keperangan (seakan-akan warna karamel)

2) Masukkan air, kiub ayam, lada hitam dan lada sulah. Biar mendidih seketika. Kemudian masukkan bancuhan tepung jagung tadi dan biar sampai kuah memekat. Tepung jagung bancuh dengan air biasa ya. Jangan guna air panas, nanti tepung berketul. Saya mention sebab kalau google, ada resepi yg suruh bancuh tepung jagung dengan air panas.

3) Bila kuah dah pekat, tutup api. Biar sekejap sampai panas berkurang, kemudian masukkan kuah ke dalam blender. Blend sampai semua awas-awas tu hancur dan tak berketul. SIAP.

Selamat mencuba!
Mulakan dengan bismillah dan selawat. InsyaAllah hasilnya pasti sedap. :)

Monday, July 7, 2014

RENDANG AYAM KAMPUNG SIMPLE

image

Puasa kali ni Ummi dah sarat sangat-sangat. Nak berdiri pun dah tak larat amat rasanya. Sakit tumit dan tapak kaki. Bak kata kawan Ummi, rasa macam nak merangkak aja dah. Beratnya lain macam. Masak memang jarang sekali lah. Tapi kelmarin Ummi teringin sangat-sangat nak makan rendang ayam. Ayam kampung pun ada seekor dalam peti Abah baru sembelih. Maka Ummi gagahkan diri jugalah nak memasak. Alhamdulillah ada abang Fateh yang sangat rajin bantu ambilkan itu dan ini utk Ummi. Thank you abang Fateh! Ummi love you so much.

Bahan tak cukup sebenarnya. Tapi Ummi bantai masak juga. Alhamdulillah hasilnya tak mengecewakan. Sedap! Ok jom tengok resepi rendang stail Ummi :)

Bahan-bahan:

1 ekor AYAM KAMPUNG
1 1/2 inci HALIA (blend)
5 batang SERAI (blend)
3 helai DAUN KUNYIT (racik)
5 ulas BAWANG PUTIH (blend)
4 biji BAWANG BESAR (saiz sederhana - blend)
2-3 sudu besar CILI BLEND (cili kering) - boleh lebihkan kalau suka pedas
2 sudu besar KERISIK
1/2 cawan SANTAN PEKAT (sy guna santan sawit Khalis)
3-5 ASAM KEPING (bergantung pd saiz)
AIR
KUNYIT secukupnya
GARAM dan GULA secukupnya

Cara-cara:

1) Panaskan minyak secukupnya. Masukkan bahan-bahan yg di kisar bersama dengan cili kering kisar. Tumis sehingga naik bau dan pecah minyak. (Api sederhana)

2) Masukkan kerisik dan kunyit. Kacau sehingga sebati.

3) Masukkan ayam, asam keping, daun kunyit, santan, dan air secukupnya. Kacau sebati dan biar mereneh. Api jangan terlalu kuat. Bimbang hangit di dasarnya. Sekali sekala perlu dikacau sehingga ayam agak masak.

4) Perasakan dengan garam dan gula secukupnya. Bagi yg suka berkuah, boleh tambah sedikit air jika nampak rendang agak kering. Kacau sebati dan biarkan kuah memekat seketika.

5) Tutup api. Sedia utk dihidangkan.

Kalau yg ada lengkuas, boleh juga tambahkan lengkuas ke dalamnya. Lengkuas boleh dikisar bersama bawang, halia dan serai.

Okey selamat mencuba! :)

Wednesday, May 28, 2014

Al Bayt Al Yamani (Ipoh)

Semalam Ummi dapat tempahan 2 biji kek. Untuk orang yang dah sarat macam Ummi ni actually nak siapkan 2 biji kek dalam masa sehari amatlah melelahkan. Alhamdulillah dengan izin Allah dapat juga Ummi siapkan dan kedua-duanya dah selamat sampai ke tangan customer Ummi. Dah habis kederat nak buat kek tu faham-faham ajelah betapa bercintanya nak masak untuk makan malam kan. Allah izin pulak, tiba-tiba petang tu dapat berita dari adik ipar kata ada kawan Abah ajak datang kedai makan miliknya yang masih dalam proses simulasi makanan. Kiranya diorang panggil orang datang untuk rasa makanan yang disediakan, kemudian beri komen untuk penambahbaikan sebelum kedai dibuka secara rasminya.

Al Bayt Al Yamani. Rasanya peminat-peminat nasi arab kalau dengar nama kedai ni mesti dah dapat agak kan kedai ni berkonsepkan apa? And yes. Ummi adalah peminat no.1 nasi arab. Jenis yang tak jemu-jemu makan nasi arab. Lepas makan, mesti 2 atau 3 hari lepas tu rasa nak makan lagi. Huhu.

Mula-mula Abah call owner kedai untuk dapatkan kepastian. Pakcik tu bagitau, malam ni takda nasi arab. Yang ada kebab dan yang grill-grill aje. Ummi cakap kat Abah, takpa. On je. Sebab nak masak memang dah tak larat pun. Sebelum pergi tu kami solat dan siapkan anak-anak dulu. Lepas solat tiba-tiba Ummi rasa macam, alamak..teringinnyaa nak makan nasi arab. Sebenarnya memang dah lama mengidam pun. Dalam hati ni rasa membuak-buak nak makan nasi arab. Ibarat kalau tak dapat tu rasa macam boleh bikin menangislah! Rasa macam nak cakap kat Abah, kita tak payahlah pergi kedai tu. Kita gi makan nasi arab kat Hadramaut lagi baik. Ummi belanja pun takpe. Huhu punya la kuat keinginan tu.

Bila cakap kat Abah, Abah cakap "alah takpe. Kita makan je kebab.."
Ok. Ummi pasrah. Walaupun dalam hati ni dah libang libu dah rasanya. Orang mengidam tau lah macamana rasanya kan. Hihi..

Sampai kat kedai tu, benda pertama yang diorang serve adalah jus tembikai.

image

Tengoklah jus tembikai dia. Pekat! Kalau pergi kedai lain, kadang-kadang jus tembikainya cair sangat. Tak puas kalau minum. Ummi pernah juga minum jus tembikai kat satu kedai ni, ya Allahhh. Rasa biji-biji tembikai tak hancur. Memang potong stim betul kita nak minum. Tapi jus kat kedai ni alhamdulillah Ummi memang puas hati sangat-sangat. Pekat cukup, manis cukup. Kalau ada 10 bintang, Ummi bagi 10 bintang tu semua kat deme.

Lepas tu ada juga diorang bagi rasa air vimto. Air ni seakan-akan air rebina. Tapi lagi pekat. Sedap! Rasa macam minuman bergas tau. Tapi takde gas. Boleh bayang tak? Ha..kalau rasa takleh nak bayang memang kena pergi rasa sendiri lah. Ummi memang tak pernah rasa lagi air ni kat mana-mana kedai nasi arab. Ni first time dengar nama dan first time juga rasa.

Nak dijadikan cerita, Allah izin malam tu diorang ada buat Kabsah Lamb dan nasi apa tah lagi satu tu namanya. Ummi lupa dah. Ummi sebenarnya kalau makan nasi arab tak pernah order kambing. Mesti ambil lauk ayam. Sebab Ummi tak suka bau kambing kuat sangat. Hihi. Tapi sebab itu aje yang ada, maka pasrah ajelah. Macam tak excited sangatlah kan nak makan. Tapi... bila diorang serve je nasi tu..baunya masyaAllah..menggugat iman.

image

Yang nasi warna kuning tu Kabsah Lamb. Ummi punya. Memang sedap teramat! Bak kata orang, mak mertua lalu kat depan pun tak nampak dah. Serious sedap. Makan nasi saja pun dah sedap. Kuah pun A. Sambalnya jangan cakaplah. Sambal nasi arab paling sedap Ummi penah makan.

Yang nasi warna oren tu Abah punya. Nama apa tah Ummi lupa dah. Tapi sedap juga Abah kata. Dua-dua pinggan licin. (Telan air liur jap)

Antara menu lain yang ada kat sini...

image

image

image

image

image

Layan gambar aje lah ye. Sebab banyak sangat menu. Ummi pun tak ingat dah nama-namanya. Yang pasti semuanya dijamin sedap insyaAllah. Tengok gambar pun dah tau sedap kan? Tukang taip dah terliur. Boleh ajak Abah pergi lagi ni. Hehehe.

image

Tukang masaknya pun pakai kemas dan bersih. Maknanya tak perlu risau pasal kebersihan. Memang diorang jaga sangat-sangat.

image

Deretan jus buah-buahan. Sedapnyaaa... Semua nampak kaw-kaw punya. Ummi masa makan tu siap paw air Abah lagi. Tak cukup 1 gelas weh. Sampai air Abah dah habis pun rasa nak minum lagi lepas tu. Sedap sangat T_T

Jom kita gi lagi Abahnye. Baby dah menendang-nendang ni. Mungkin dia faham isi hati Ummi. Hihihi :) :)

Check up adik @ 30weeks, Irdina 1 tahun 4 bulan, Fateh Arraziq 3 tahun 3 bulan.

Perihal Adik.

Booking bulan 12 di Klinik Rusnah. Bulan 5 baru datang check up semula. Hebat Ummi ni doktor kata. Hihi. Mengandung kali ni Ummi saja tak booking kat klinik kerajaan. Taknak kena bising-bising mengandung cepat sangat. Kalau swasta doktor ok je.

Scan kali kedua menunjukkan adik Irdina gigirl. Tapi doktor tak jamin 100%. Kuasa Allah takde siapa boleh jangka. Kadang-kadang dah scan terang tang tang nampak gigirl pun boleh keluar boboy juga. Bagi Ummi, Ummi tak kisah gigirl atau boboy. Yang penting sihat serta sempurna dalaman dan luarannya. Itu sudah mencukupi.

Kedudukan adik buat masa sekarang adalah songsang. Kepala di atas, punggung dan kaki di bawah. InsyaAllah masih sempat lagi utk adik berpusing. Doakan Ummi dapat bersalin normal dan dipermudahkan segalanya ya. Masa scan tadi doktor cakap muka adik ikut muka Ummi. Hihihi. Tak sabar pulak nak menanti si kecik ni keluar.

Perihal Irdina.

Irdina agak lambat sikit pandai berjalan berbanding dengan Fateh dulu. Umur dah setahun 2 bulan barulah Irdina rajin bertatih sehinggalah pandai berjalan. Dan sekarang rajin ya amat berjalan ke sana ke mari sambil memunggah itu dan ini dari rak pinggan, rak pakaian, almari tv, almari barang-barang baking Ummi. Rajin sungguh anak dara Ummi. Dalam sehari tak kurang 6 kali Ummi kena kutip dan simpan semula barang-barang yg Irdina sepahkan. Allahuakbar. Dengan perut yg tengah memboyot sekarang ni, faham2 ajelah bercintanya macamana. Moga-moga kerajinan anak dara solehah ni berkekalan sehingga dia besar nanti. Boleh tolong ringan-ringankan beban Ummi kan sayang :)

Gigi tumbuh awal. Sekarang gigi atas Irdina dah ada 6 batang. 4 di bahagian depan, 2 lagi gigi geraham di kiri dan kanan. Gigi bawah pula baru ada 2. Ada beberapa batang lagi yg baru menampakkan diri. Tak lama lagi penuhlah tu. Sekarang pun bukan main lagi dia. Semua benda nak dikunyahnya.

Irdina dah pandai memanggil-manggil Abah. Asal nampak saja kelibat Abah mulalah dia "Bah..bah...bah..bah..." Kalau dekat ngan Abah tu siap tepuk-tepuk kat badan Abah lagi kononnya macam nak panggil lah kan. Tapi bila Abah menyahut tak pula dia cakap apa-apa. Hihihi. Panggil Ummi belum pandai lagi. Ummi dok latih juga dia. Tapi Irdina hanya boleh panggil Ummi "Mmmm" ataupun "Mmaaa" saja. Kadang-kadang dia bantai panggil Ummi "Bah". Hahaha.

Anak dara solehah ni juga dah pandai banyak perkara dalam berkomunikasi. Contohnya bila Ummi tanya, "Irdina nak susu?" Dia akan jawab "Nak" sambil angguk kepala. Eceh. Macam orang besar je kamu ni. Lepas tu kalau nampak kereta baru nak bergerak dari tempat parking, pandai saja dia babai sambil lambai-lambaikan tangan.

Irdina juga dah pandai sayang Ummi dan Abah. Bila disuruh cium pipi, dia cium tak berbunyi. Tapi bila tengok abang Fateh cium siap ada bunyi karang, terus dia pun nak cium lagi sekali siap ada bunyi. Kadang-kadang bunyi keluar dulu baru mulut sampai kat pipi kami. Hahaha.

Oh hampir terlupa pula Ummi. Irdina sangat suka berzikir dan ikut Ummi baca Al-Quran. Siap goyang-goyang badan lagi si kecik ni. Suara pun keluar seolah bertartil sekali cuma tak jelas apa yg dibaca. Good girl anak Ummi. Alhamdulillah.

Abang Fateh Arraziq

Abang Fateh dah terlalu petah sangat-sangat sekarang. 3 Tahun 4 bulan. Mulut tak henti-henti pot pet pot pet. Kadang-kadang tu Ummi letih sangat sebab nak buat kerja lagi, nak menjawab soalan yang bertubi-tubi dari abang Fateh lagi. Hadoi..hehe.

Tapi abang Fateh ni suka sangat menyakat Irdina tau. Dia tak boleh tengok adik diam. Mesti nak kacau bagi menangis. Huhuhu. Actually Ummi nampak abang Fateh ni boring sebab takde kawan. Jadi dibuatnya Irdina tu macam kawan dia. Tumbuk, tendang, tolak, macam-macam lagilah. Ummi sentiasa pesan kat abang Fateh, "adik ina ni perempuan.. Abang Fateh tak boleh main kasar-kasar dengan adik. Kesian adik. Orang perempuan ni lembut. Tak main tumbuk-tumbuk dan tendang-tendang"
Mengangguk faham aje dia. Tapi esok-esok buat lagi. Dah nama pun budak kan..

Kadang-kadang tu, adik tengah elok tidur lena dalam playpen. Datang abang Fateh pergi goncang-goncang playpen tu sampai adik bangun dan menangis. Cabaran betul Ummi nak menahan sabar dengan anak syurga ni. Hehehe.

Waktu tidur abang Fateh masih lagi pakai pampers. Ummi dah latih tak pakai pampers hari tu. Tapi masih belum berjaya lagi. Tidur siang pun kena pakai pampers. Ummi dah atur kencing sebelum abang Fateh tidur. Tapi karang baru aje tidur barang 5 10 minit, tengok-tengok dah banjir bawah kerusi. Banyak pulak tu kencingnya. Buat masa sekarang Ummi stop dulu. Perut dah boyot. Tak larat Ummi nak mengemop lantai selalu. Syukur jugalah proses potty training waktu tak tidur dah settle. Hampir setahun juga Fateh dah tak pakai pampers. InsyaAllah lepas habis berpantang nanti Ummi akan sambung latih Fateh utk tak pakai pampers waktu tidur. Moga Allah mudahkan.

Saturday, March 8, 2014

Tauhu Sos Tiram

image

Bahan-bahan:-

1 Tauhu Lembut
3 ulas Bawang Putih - dadu halus
2 sudu besar Sos Tiram
1 @ 2 sudu besar Kicap Manis
1 sudu kecil Minyak Bijan (saya pakai brand Nona)
1 sudu kecil Stok Ayam/ 1 kiub ayam Knorr
Daun Bawang - hiris halus
1/2 genggam Bawang Goreng (nak bubuh lebih pun takpe)
Cili Merah - hiris (taknak bubuh pun takpe)
Air secukupnya
Minyak untuk menumis

Cara-cara:-

1) Kukus tauhu 5 minit.

2) Panaskan minyak. Tumis bawang putih sampai naik bau harum.

3) Masukkan sos tiram, kicap dan air. Kacau sebati dan biarkan hingga mendidih.

4) Masukkan stok ayam dan minyak bijan. Kacau bagi sebati. Biarkan sekejap sampai kuah jadi pekat.

5) Bila sos dah jadi pekat, masukkan daun bawang, bawang goreng, dan cili merah. Kacau sekejap dan terus tutup api.

6) Tuang sos atas tauhu. Sedia untuk dihidangkan.

Nota kaki: Boleh tambah sedikit garam jika perlu.

Friday, March 7, 2014

Resepi Ayam Masak Phat Phet

image

Bahan-bahan:-

1/2 ekor ayam (saya guna ayam kampung, so saiznya kecil sedikit) - potong kecil2
5-7 ulas bawang putih - tumbuk
3 ulas bawang besar - hiris bulat
3 batang serai - ketuk
1 inci halia - hiris tebal dan ketuk
5-10 biji cabai melaka - tumbuk (boleh tambah kalau nak lagi pedas)
Asam keping - 2 @ 3
10 helai daun limau purut
Sedikit kunyit hidup (saya guna serbuk je) - tumbuk
Garam dan gula

Cara-cara:-

1) Panaskan minyak dalam kuali. Minyak jangan terlalu banyak atau terlampau sedikit. Tumis bahan yg ditumbuk dan diketuk sampai naik bau.

2) Masukkan ayam, daun limau purut, asam keping dan setengah cawan air. Kacau bagi sebati semua bahan kemudian biarkan sampai menggelegak.

3) Kacau lagi dan perhatikan kalau ayam belum masak boleh biarkan lagi sehingga isi ayam empuk. Tambah air sedikit-sedikit jika perlu. Bila isi ayam dah empuk, masukkan garam dan gula secukup rasa. Gaul sebati dan tutup api.

4) Sedia untuk dihidangkan.

Tuesday, February 25, 2014

Perkembangan terkini anak2 dan baby baru

image

Anak sulung Ummi yg sangat soleh dah pun berumur 3 tahun. Alhamdulillah. Fateh Arraziq sangat banyak cakap sekarang. Mulut tak henti2 pot pet pot pet. Cakapnya pulak jelas dan terang. Ramai orang ingat Fateh dah 5 tahun sebab dia petah sangat. Hehe..

Fateh sekarang tersangat-sangatlah lasak. Kuat buli adik ina. Bukan nak buli sebenarnya, tapi nak berkawan. Cuma tak berapa pandai. Maklumlah budak lagi. Dia lelaki.. Dia main ngan adik ina stail budak lelaki lah..

Juga rajin tolong Ummi dan Abah. Pagi2 mesti ikut Abah pi bagi ayam makan.
"Abah..Abah..biar Fateh yg bagi tau.."
Kalau tengok Ummi masak kat dapur mesti mulut tak henti2 tanya itu dan ini. Ini apa namanya, Ummi buat apa, kenapa, kenapa, dan kenapa. Perasaan ingin tahu dia cukup kuat..sampai tak terjawab Ummi kadang2 tu. Hehe..

Pernah sekali Fateh tanya,
"Ummi, kenapa Ummi pakai tutup muka tu? Mulut Ummi aurat ke?"
Hehehe...

Siang dah tak pakai pampers. Dah pandai kencing dan berak kat tandas. Alhamdulillah. Cuma kadang2 terlepas gak kencing kat lantai disebabkan seronok sangat main ngan sepupu atau kawan2. Malam still pakai pampers. InsyaAllah Ummi akan cuba train lagi.

image

Si anak dara, Irdina yg solehah juga dah makin bijak pandai lagi cerdik. Gigi dah banyak.. Geraham pun ada kat belah atas. Makan semua dia nak..jarang sangat menolak. Jauh beza dengan abang Fateh yg kadang-kadang 2 hari sekali je makan nasi. Kalau Ummi suap dua-dua pun mesti suap Fateh sekali suap Irdina 4 5 kali.

Berjalan belum pandai lagi. Tengah bertatih-tatih. Berdiri lepas tangan dah boleh. Jalan pun dah boleh 4 5 langkah. Cuma Irdina belum confident je lagi nak berjalan selalu. Tapi Ummi dan abang Fateh sangat2 memberikan galakan kepada dia. Hehe.

Sekarang kandungan Ummi dah masuk 20 minggu 3 hari. Sejak usia kandungan 16 minggu kalau tak silap Ummi..Ummi dah mula campur susu formula utk Irdina. Means sekarang Irdina minum susu botol dan masih menyusu badan dgn Ummi. Terpaksa atas sebab2 yg tak dapat dielakkan. Susu botol tu kongsi dengan abang Fateh, Dutch Lady 123 perisa coklat. Mula-mula Ummi cuba bagi yg plain, tapi Irdina reject. Takmau minum langsung. Last2 kongsi susu abang Fateh je.

Adik dalam tummy Ummi sihat insyaAllah. Sometimes Ummi masih lagi ada rasa loya. So dalam peti ais sentiasa spare ais krim oren asam boi banyak2. Hehe. Tiap kali uncle jual ais krim tu datang Ummi akan beli 5 batang ais krim tu. Tapi kena makan senyap2..time anak2 tidur ke.. Fateh bukan boleh tengok karang mula lah nak..nak..nak.. Pastu last2 karang dia yg makan banyak. Huhuu.

image

Mengandung kali ni Ummi tak makan ikan, tak makan ayam, segala seafood2 semua Ummi taknak. Daging boleh la juga sikit2. So makan nasi pun dgn ikan bilis goreng..ikan masin.. Kadang2 je boleh nak makan ikan atau ayam sikit2. Tapi memang rasa tak sedap lah di mulut. Cukup la sekadar nak buat alas perut.

Okeh yg tu je perkongsian kali ni insyaAllah. Jantina baby belum nampak. Ummi tak kisah je lelaki atau perempuan. Yg penting sihat dan sempurna dalaman serta luarannya.

"Ya Allah,
Kau permudahkanlah proses mengandung, melahirkan, dan mendidik anak ini serta anak-anakku yg lain. Permudahkanlah ya Allah. Kau perkenankanlah doaku. Aminn."