CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Followers

Saturday, November 29, 2014

Ujian yang harus ditempuhi

Assalamualaikum.

Seperti yang kita semua maklum, kanser adalah pembunuh senyap. Kita nampak sihat. Namun pada hakikatnya kita sedang sakit. Pesakit kanser tidak boleh membiarkan diri mereka tertekan. Kerana stress boleh membuatkan sel kanser menjadi semakin aktif. Dan kanser akan merebak dengan cepat.

Dalam situasi Ummi, bila ummi rasa sedih, atau nak marah, hatta stress tanpa diketahui sebabnya pun, Ummi akan sakit. Tempat yang sakit itu akan berdenyut-denyut atau terasa bagai dihiris-hiris. Allahuakbar. Hanya Allah yang tahu betapa Ummi berusaha melawan rasa sakit itu. Sakit yang teramat sangat! Kadang-kadang bila anak-anak menjeri, anak-anak tak mahu dengar dan ikut apa yang Ummi cakap, sakit itu akan mula menyerang Ummi.

Keadaan ini menyebabkan Ummi terpaksa menghantar dan meninggalkan anak-anak di rumah Opah.
Maafkan Ummi sayang~
Ummi sayang kalian.
Ummi kasihankan kalian. Terpaksa duduk dengan orang lain. Kurang belaian dan kasih sayang dari Ummi.
Tapi adakalanya Ummi tak sanggup nak menanggung rasa sakit ini.
Maafkan Ummi.
Doakan Ummi segera sembuh.
Supaya Ummi boleh memeluk dan bermain dengan kalian sepuas-puasnya. Jom sama-sama berdoa. Agar Allah kurniakan kita sekeluarga kesihatan yang baik. Jadi hambaNya yang taat dan sentiasa berada di bawah rahmat serta kasih sayangNYA.
Amin. Amin. Amin.

Ummi sayang kalian kerana Allah. Ummi harap kalian juga sayang Ummi dan Abah kerana Allah.

image

Irdina yang solehah dan Daniah yang solehah.

image

Abang Fateh yang bijak dan penyayang.

Ummi.
5.13 PM.
28 Nov 2014.

Tuesday, November 25, 2014

Mak Chik

Assalamualaikum.

Mak Chik ialah adik Ummi yang nombor lima. Antara adik yang rapat dengan Ummi. Sebelum mak chik kahwin dulu Ummi selalu berangan-angan nak tengok mak chik kahwin. Tak tahulah kenapa. Ummi rasa tak sabar nak tengok mak chik berteman. Ummi rasa kasihan dan takut mak chik sunyi. Dari situ mulalah Ummi dan Abah kenenkan mak chik dengan orang orang yang kami rasa sesuai dan baik untuk mak chik. Lepas sorang..sorang kami cuba kenenkan. Tapi tak menjadi.

Sampailah satu masa tu Ummi dan Abah pergi program kat KL. Kami cuba kenalkan mak chik pada seseorang. Mak chik sendiri tak sedar apa yang Ummi dan Abah cuba buat. Dan tanpa kami sedar juga, sebenarnya seseorang sedang merisik mak chik melalui Aki (ayah ummi). Aki suruh hamba Allah tu tengok mak chik dekat program tu. Tengok dengan tujuan nak kenal orangnya macamana, sedap dipandang ke tidak, berkenan di hati ke tidak. Sebab hamba Allah tersebut langsung tak mengenali mak chik dan mak chik sendiri pun tidak mengenali beliau.

Semuanya menjadi rahsia sehinggalah hamba Allah tersebut bersetuju untuk memperisterikan mak chik. Dua kali dia datang ke rumah Aki bersama mas'ulnya untuk bertaaruf dengan mak chik. Masa berlalu dengan sangat pantas. Dalam masa yang singkat, mak chik ditunangkan dan seterusnya dinikahkan dengan si pemuda yang kami panggil Azam.

image

Mak chik di hari pertunangannya.
8-2-2014
Allah yang Maha Kuasa menghadirkan rasa cinta dalam hati kita walau kita tak kenal siapa tunangan kita.

Semasa dalam tempoh pertunangan, mak chik tetap tidak berhubung dengan tunangnya kecuali melalui email. Itupun melalui orang tengah. Setiap email yg dikirim akan dibaca oleh orang tengah tersebut. Dan email hanya berkisar tentang perbincangan majlis walimah yang bakal berlangsung.

image

Alhamdulillah. Mak chik selamat dinikahkan oleh Aki pada 19-4-2014.

image

Tempoh pertunangan yang singkat.
Namun mak chik yakin dengan penyusunan Allah. Mak chik yakin dengan jodoh yang telah ditetapkan Allah untuknya.

image

Percintaan mereka bermula di sini.
Kegembiraan jelas terpancar di wajah masing-masing :)

image

Upacara sword bearer.
Majlis di rumah pengantin lelaki pada 6-9-2014.

image

Bersama rakan-rakan dan ibubapa pengantin kedua belah pihak.

Sunday, November 23, 2014

Ummi dan kanser

Assalamualaikum.

Masa mula-mula doktor sahkan Ummi positif kanser tahap 3, Ummi terdiam. Hilang kata-kata. Ummi tak tahu ummi nak senyum atau nak menangis. Ummi rasa dunia ummi gelap. Macam-macam fikiran negatif berlegar-legar dalam kepala ummi. Allahuakbar. Padahal ummi dah prepare dari awal. Sejak dulu lagi, sebelum ummi kahwin, sebelum ummi kenal Abah, ummi dah tetapkan dalam hati. Suatu hari nanti ummi kena terima dengan lapang dada sekiranya ummi mendapat penyakit ini.

Kenapa?
Sebab dua orang makcik ummi disahkan menghidap kanser. Ummi selalu ingatkan diri sendiri. Ummi kena bersedia. Ummi kena positif. Ummi selalu google dan cari maklumat mengenai kanser di internet. Sebab itu ummi ambil langkah awal bila dapati ada kelainan pada diri ummi. Namun Allah itu maha berkuasa. Kanser memang pembunuh senyap. Ummi yang selama ini nampak sihat dan ceria hakikatnya sudah berada di tahap ketiga kanser.

Ya. Awalnya ummi hilang kata-kata. Ummi tak sangka, akhirnya benar telahan ummi. Tapi Allah itu benar-benar maha pengasih lagi maha penyayang. Abah terima berita ini dengan sangat sangat sangat positif. Beberapa minit selepas keluar dari bilik doktor Abah terus tak henti henti memberi kata semangat kepada Ummi. Abah cari jalan supaya ummi tidak stress dan kembali ceria. Abah sentiasa di sisi Ummi bila ummi down. Abah siapkan semua kerja yang sepatutnya ummi settlekan di rumah. Abah jaga ummi sepenuh jiwa raga abah walaupun abah pernah cakap, abah tak mampu jaga ummi kalau Allah izin ummi sakit. Abah urus hal anak-anak seorang diri. Abah bawa ummi ke sana ke mari untuk berubat. Allahuakbar..

Allah jadi saksi Abah berbuat baik kepada ummi. Allah jadi saksi Abah berbuat baik kepada anak-anak. Allah jadi saksi Abah menunaikan tanggungjawabnya dalam keadaan yang sangat menekan.

Alhamdulillah..
Hari ini ummi kembali ceria. Sudah boleh bergurau-gurau. Ramai yang tanya ummi,
"Aisyah dah sihat ke"?
Sebab orang nampak ummi macam sihat. Tak macam orang sakit. Hehe. Sebenarnya ummi sakit. Sangat sakit. Tapi ummi tak tunjuk di depan orang.

Ummi ambil ubatan homeopati. Menurut doktor, ummi tak boleh dibedah. Sebab sel kanser akan merebak kalau terkena alatan besi. Seperti yang kita tahu, homeopati bukan menahan penyakit, tetapi mengeluarkannya. Sebab itu ummi bertambah sakit. Ubat tu dah mula bertindak mengeluarkan nanah dan darah dari tumor dalam badan ummi. Kadang-kadang ummi sampai tak tidur malam kerana menahan sakit. Ummi sebolehnya tak mahu ganggu tidur Abah. Tapi sakit ini ada ketikanya membuatkan ummi menangis hingga menyebabkan Abah terjaga. Abah peluk ummi. Abah usap tangan ummi untuk mengurangkan kesakitan yang ummi rasai. Terima kasih Abah. Syurgalah tempat suami sebaik Abah.

Walaupun sakit, ummi yakin dengan jalan yang ummi pilih. Sejak dulu lagi keluarga ummi memang pengamal homeopati. InsyaAllah, ada rezeki sembuhlah ummi. Kalau tak ada rezeki, ummi redha. Walau apa pun, Ummi positif yang ummi akan sembuh. Kalau boleh ummi nak lihat anak-anak syurga ummi membesar sihat dan menjadi anak-anak yang soleh lagi musleh. Anak-anak yang sentiasa mendoakan untuk Ummi dan Abah. Yang banyak memberi sumbangan untuk Islam. Aminn.

image

Ummi dan kakak Irdina di Bird Paradise, Langkawi. -17.11.2014-

Monday, November 10, 2014

Perkembangan anak-anak syurga Ummi

Assalamualaikum.

Blog ummi semakin sunyi. Semakin kurang pengunjungnya. Membuatkan Ummi rasa mungkin ini peluang untuk Ummi menulis lebih banyak tentang anak-anak. Kuranglah sedikit rasa segan sebab tak ramai yang baca. Ummi harap anak-anak dapat mengingati dan mengenali Ummi melalui pembacaan di blog ini andaikata Ummi sudah tiada suatu hari nanti.

Fateh Arraziq. Anak ummi yang pertama.
Ummi tahu kamu abang yang soleh. Perlu selalu mengalah dengan adik-adik ya!
Sekarang Fateh sudah 3 tahun 10 bulan. Sudah sangat petah berkata-kata. Dan memahami setiap arahan Ummi dan Abah dengan jelas. Ummi kagum sebab sekali pun fateh tak pernah menyakiti adik Daniah. fateh jaga adik Daniah dengan sangat baik. Senang kata Fateh sudah boleh diharap. Tidur pun peluk adik :)
Ummi harap Fateh boleh menyayangi dan melindungi Irdina begitu juga.

Irdina. Anak kedua Ummi.
Kini berusia 1 tahun 11 bulan. Juga semakin petah dari sehari ke sehari. Suka mengajuk percakapan orang lain. Sampai membuatkan Ummi dan Abah tergelak. Sebab suaranya yang halus dan kecil. hehehe.. Irdina sayangkan adik Daniah. Tapi belum pandai mengekspresikannya dengan cara yang betul. Tak apa sayang. Nanti dah besar kamu akan pandai macam abang. Boleh jaga adik sementara Ummi selesaikan kerja-kerja Ummi. Walaupun dah jadi kakak, Irdina masih sangat manja. Kuat mengadu tau..hehe. Kadang-kadang abang buat sikit aje. Dia yang menangis lebih-lebih nak tarik perhatian Ummi. Pandai Irdina ya.

Daniah. Anak ketiga yang sihat dan bulat.
3 bulan sudah. Alhamdulillah. Walaupun Ummi tak sihat, Ummi masih mampu menyusukan Daniah sepenuhnya. Sampai demok dan bulat dan tembam anak Ummi yang sorang ni. Ummi bahagia :) :) Moga kebahagiaan ini berpanjangan. Amin. Daniah sangat kuat bersembang. Suka panggil-panggil Ummi kalau dia tinggal sorang-sorang. Ummi ingatkan nak susu. Bila ummi datang terus dia tersengih-sengih. Oooo nak bersembang rupanya. hehehe. Mudah diagah juga. Abah pernah agah sampai Daniah ketawa. Ummi pun mengekek-ngekek ketawa. Seronok sangat tengok anak ceria :D

Ok tak boleh nak menaip lebih panjang. Irdina dah mengajak ke tandas. Pampers dah penuh katanya. hehe. Inilah Irdina. Suka ajak mandi dan tukar pampers.

Ok lah anak-anak. Nanti Ummi tulis lagi ya.
Assalamualaikum :)