CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Followers

Tuesday, October 7, 2014

Bersyukur jadi insan terpilih.

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Ambil masa sedikit untuk menulis malam ini. Anak-anak dan suami sudah lena dibuai mimpi.

Lama saya tak menjenguk ke sini. Dalam tempoh itu bermacam perkara yang saya lalui. Ada yang manis. Ada yang pahit. Alhamdulillah. Tanpa yang manis, kita tidak akan merasa kepahitan. Tanpa kepahitan, kita tak akan sedar adanya kemanisan :)

24 julai 2014 bersamaan dengan 27 Ramadhan, kami dikurniakan seorang lagi anak perempuan. DANIAH. Lahir di hospital besar Ipoh pada jam 9.23 malam. Alhamdulillah. Dalam 3 kelahiran, yang ketiga ini adalah yang paling mudah buat saya. Sakit dalam masa yg singkat, dan dengan izin Allah saya selamat melahirkan. 20 minit sahaja tempoh saya berada di dalam labor room.

Saya mula berasa sakit pada jam 6 petang. Tidak kerap. Tapi agak kuat. Namun saya masih boleh berjalan-jalan di bazar ramadhan mencari juadah untuk berbuka. Beberapa kali saya berhenti kerana sakit hingga tak mampu melangkah. Jam 7, kami naik kereta. Sakit datang 10 minit sekali. Suami tanya, nak balik ke rumah atau terus ke hospital? Saya jawab, saya belum mahu beranak lagi. Ini sakit perut nak berak aja. Serius. Sakitnya tak sama dengan yang pertama dan kedua dulu. Maka kami pun pulang.

Jam 7 lebih, kami hampir tiba di rumah. Sakit makin kuat. Kami ambil keputusan untuk ambil adik saya dan anak-anak di rumah dan dibawa ke rumah mertua. Setibanya di rumah mertua azan maghrib pun berkumandang. Saya yang menahan sakit 7 minit sekali segera berbuka sekadarnya. Betul-betul makan sekadarnya sebab dah hilang selera.

Jam 8 lebih selesai sahaja suami solat terus saya ajak ke hospital. Suami memecut laju kereta kembara yang sangat banyak berjasa kepada kami. Ketika hampir tiba ke hospital, saya maklumkan pada suami yang saya berasa seperti mahu meneran. Suami ingatkan, "Kalau sakit jangan pegang lengan saya ya. Sebab saya tengah drive. Bahaya."

Tiba di hospital, kami terus meluru masuk ke bahagian saringan. Doktor  dipanggil untuk buat VE. Sudah 7cm. Saya dimasukkan ke labor room. Belum sempat drip air, saya sudah rasa seperti mahu meneran sangat-sangat. Dengan 3 kali teran alhamdulillah lahirlah puteri ketiga kami dengan berat 3kg. Dalam pada itu, suami masih menunggu di luar menyangka saya masih belum melahirkan kerana tidak dimaklumkan oleh sesiapa.

image

Dia hanya tahu selepas dimaklumkan oleh saya menerusi sms :)
Dan disebabkan berbuka ala kadar sahaja tadinya, maka kelaparanlah saya pada malam itu. Jam 12 malam baru nasi panas tiba bersama dengan lauk ikan bilis goreng dengan bawang. Inilah lauk saya dalam tempoh 2 minggu pertama berpantang. Semata-mata! Gara-gara tak mahu anak terkena kuning. Hehe.

Selesai kisah melahirkan.

4 hari sebelum habis berpantang, saya disahkan pula oleh doktor pakar menghidap sakit kanser. Saya hilang kata-kata. Namun sangat sangat sangat bersyukur kerana suami sangat positif dan memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada saya. Tak putus-putus dia meyakinkan saya bahawa Allah yang memberi ujian, Dia jugalah yang akan memberi pertolongan.

Terima kasih Sayang.

Ya Allah, Kau saksikanlah sesungguhnya suamiku telah berbuat baik kepadaku saat aku diuji olehMu.

Tak jemu-jemu suami membawa saya ke sana ke mari untuk berubat. 2 minggu berturut-turut berulang ke johor. 2 minggu yang seterusnya berulang pula ke kuala lumpur. Kemudian bawa pula saya dan anak-anak pulang ke Pahang bertemu keluarga. Dengan izin Allah saya demam panas setibanya di Pahang. Suhu badan sangat panas sehingga saya kekejangan beberapa kali. Suamilah yang menjaga saya sepanjang tempoh 4 hari saya jatuh sakit. Subhanallah... Saya teringat suami pernah melafazkan, "Kalau awak jatuh sakit, saya mungkin tak mampu nak jaga awak. Saya tak pandai menjaga orang sakit."
Hari ini telah terbukti...suami saya mampu menjaga saya saat saya sakit. Dia tinggalkan segala kerja dan mengambil berat tentang diri saya.

Ya Allah, Kau sediakanlah tempat yang istimewa di syurga buat suamiku.

Positifnya saya hari ini, disebabkan adanya sokongan dari suami. Tak lupa juga insan-insan terdekat.
Terima kasih Allah.
Terima kasih Sayang.

InsyaAllah, saya akan terus berjuang melawan penyakit ini.
Saya yakin, Dia yang memberi sakit, bila-bila masa Dia boleh sembuhkan. Ujian ini buat kita lebih beringat. Mati itu pasti. Namun sejauh manakah persediaan yang sudah kita buat?

image

Daniah saat baru dilahirkan.

image

image

Daniah hari ini :)