CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Followers

Friday, November 9, 2012

Pemergian Ummi, pautan paling kemas dalam ingatan

Jika ditanya pada saya kisah atau kenangan yg paling kemas tersimpan di ingatan, sudah tentu saya akan berkata, "saat pemergian Ummi tercinta..."

Benar. Biarpun 8 tahun sudah berlalu, ianya masih tetap segar dan tersimpan kemas dalam ingatan hingga kini. Ketika arwah Ummi baru beberapa hari meninggalkan kami, seseorang telah berpesan kepada saya,
"awak jangan sesekali lupa pada arwah Ummi. Ingatlah dia sampai bila-bila. Jangan masa mula-mula ni je awak ingat kat dia, lama-lama nanti lupa.."

Ketika itu saya terfikir, bolehkah seorang anak melupakan ibunya yg telah pergi? Mungkinkah perkara seperti ini akan terjadi? Kalau benar, jauhkanlah saya dari perkara sebegitu! Moga2 Allah golongkan saya dalam golongan orang yg takkan lupa Ummi sampai bila-bila. Itu harapan saya pada ketika itu.

Saya masih ingat....
Ummi tiba-tiba jatuh sakit sebulan sebelum saya menduduki percubaan SPM. Kata Abah, Ummi tiba-tiba collapse di dapur ketika waktu maghrib. Ketika itu Ummi sedang mengasingkan isi durian dengan bijinya utk dibuat tempoyak. Abah bergegas bawa Ummi ke hospital mentakab. 2 hari di wad, Ummi dibenarkan pulang.

Kalau nak diikutkan, pihak hospital beri Ummi appoinment di hospital kuantan dua bulan dari tarikh Ummi warded. Tapi Allah nak izin, beberapa hari selepas keluar wad Ummi diserang sakit kepala yg teramat sangat. Abah dah tak boleh menunggu lagi. Abah bawa Ummi ke Kuantan Medical Centre. Dari KMC Ummi dipindahkan ke hospital kuantan (HTAA).

Saya ingat lagi. Beberapa hari Ummi di wad, saya telefon utk bercakap dengan Ummi. Suara Ummi masa tu betul-betul lain. Bukan macam suara Ummi yg selama ni saya dengar. Suara Ummi seperti suara budak kecil yg sedang dalam kesakitan. Teramat sangat. Saya tanya Ummi,

"Ummi...Ummi ok?"
"sakit..."

Itu aje yg Ummi jawab. Betul-betul macam budak kecil yg tengah mengadu kesakitan pada ibunya.
Air mata terus mengalir....

"Ummi...de nak balik.. Nak tengok Ummi..."

Ummi tak jawab. Tapi Ummi passing telefon pada Abah. Abah cakap gelombang telefon buat sakit kepala Ummi datang kembali.

"Abah..de nak balik.. Nak tengok Ummi.."
Saya dah mula menangis teresak-esak.

"Tak perlulah balik.. De doa je dari jauh. Abah ada jaga Ummi kat sini"

Saya terus menangis dan menangis... Peritnya rasa tak dapat nak menjenguk Ummi yg sedang sakit.
Hampir sebulan Ummi warded di HTAA. Dalam tempoh itu Along dan Abahlah yg menjaga Ummi. Kata Along, setiap kali sakit kepala datang menyerang, Ummi akan termuntah dan terberak. Kadang-kadang hingga menyebabkan Ummi pengsan. Betapa beratnya sakit yg Ummi tanggung.

Suatu hari, warden panggil dan beritahu, Abah suruh segera pulang. Hati saya mula gundah gulana. Saya tahu sesuatu pasti  berlaku. Mungkin keadaan Ummi dah semakin teruk. Nauzubillah... Saya minta dijauhkan semua perasaan2 itu.

Saya telefon Along utk bertanya apa yg terjadi.

"Awak balik je dulu. Jangan fikir apa-apa"

Di belakang suara Along, saya terdengar bunyi suara seseorang sedang sesak nafas.

"Itu suara siapa tu Long?"
"Ummi..."
"Ha?? Ya Allah..."

Air mata terus mengalir deras. Saya letak telefon dan terus naik ke bilik mengemas serba sedikit pakaian. Perjalanan pulang ke Kuantan dirasakan amat panjang. Hati saya langsung tak tenteram.

Setibanya di hospital, saya dimaklumkan Ummi sudah koma. Sebelum saya tiba, Ummi telah berhenti bernafas dan doktor mengambil masa selama 12 minit utk menjadikan jantung Ummi kembali berdenyut. Allahu Allah..beratnya ujian ini...

Saya cium-cium kedua2 belah pipi Ummi. Sejuk. Tiada respon. Hati saya menjerit-jerit...

"Ummi! Bukalah mata... De nak bercakap dengan Ummi.."

Beberapa hari di hospital, masih tiada perkembangan positif. Setiap hari kepala Ummi di scan utk mencari punca penyakit. Namun hasilnya mengecewakan. Abah yg dah mula risaukan pelajaran saya menyuruh saya pulang ke asrama. Saya hanya menurut. Namun beratnya hati ini hanya Allah yg tahu.

Dalam kelas, fikiran saya asyik menerawang teringatkan Ummi. Mujur juga Abah bekalkan saya handphone. Maka setiap saat saya ternanti-nanti jikalau ada panggilan kecemasan dari Abah.

Kali kedua saya pulang, Ummi telah dipindahkan ke wad HDW. Sepatutnya Ummi ditempatkan di ICU, tapi disebabkan ICU terlalu penuh, mereka tempatkan Ummi di HDW.

Setiap hari kami adik beradik termasuk Abah bergilir-gilir menunggu Ummi di dalam sambil membacakan ayat2 suci Al-Quran di telingan Ummi. Saya tak henti-henti berharap..

"Ummi...bukalah mata...bukalah mata... De rindu sangat nak berbual dengan Ummi..."

Namun setiap kali Ummi membuka mata, saya hanya mampu merenung Ummi seketika dan terus melarikan wajah saya ke arah lain. Saya taknak Ummi lihat air mata yg bertakung di kelopak mata. Betapa sakitnya kerongkong saya menahan sebak. Ummi bukannya boleh bercakap. Tiub pernafasan ada di kerongkongnya.

Kata doktor, keadaan Ummi agak kritikal kerana walaupun berada dalam keadaan tidak sedar, otak Ummi sentiasa memikirkan tentang anak2 dan suami. Anak2 dah makan ke belum.. Makan pakai suami macamana.. Jadi doktor sarankan agar kami tak menampakkan air mata di depan Ummi. Kalau tidak Ummi akan bertambah risau dengan keadaan kami.

Selepas beberapa hari di hospital, kami adik beradik berbual dengan Abah. Saya beritahu Abah,

"De nampak dahi Ummi berpeluh.." (sedangkan aircond sangat kuat)

Abah terdiam. Kemudian Abah berkata,
"Abah risau.. Selalunya kalau berpeluh tu tandanya orang tu tengah nazak. Abah harap anak-anak bersedia menghadapi apa jua yg bakal terjadi selepas ini.."

Ya Allah... Betul ke apa yg aku dengar ni.. Aku tak sanggup ya Allah...aku tak sanggup ya Allah...

Petang itu Abah meminta saya pulang ke asrama kerana esok sudah hari kedua percubaan SPM berjalan. Saya membantah. SPM boleh diambil bila-bila. Ummi kalau pergi, tiada berganti lagi. Saya tak mahu menyesal sampai bila-bila. Biarlah pelajaran diketepikan dulu buat masa ini.

Abah tetap memujuk supaya saya pulang ke asrama. Kata Abah, Allah ada utk menjaga Ummi. Beberapa orang ibu dan bapa saudara turut memujuk saya. 

Akhirnya saya mengalah. Saya menaiki bas dengan hati dan jiwa yg berkecamuk! Bas bertolak jam 8 malam. Dalam bas, saya cuba utk melelapkan mata walaupun sukar. Jam 4 pagi saya mendapat panggilan dari Abah yg meminta saya berpatah balik. Ketika itu bas baru sahaja melepasi daerah Sungai Petani. Serabutnya fikiran pada masa itu hanya Allah yg tahu.

Abah tak beritahu apa yg telah berlaku. Cuma berkata, "turun di stesen bas terhampir". Jam 6 pagi bas tiba di Alor Setar. Seorang pakcik telah sedia menanti dengan tiket bas ke Butterworth. Saya bergegas menaiki bas dan mengucapkan terima kasih kepada pakcik tersebut. Hampir jam 8 pagi barulah kami bertiga (saya, adik, dan seorang kawan) tiba di Butterworth. Dari sana kami dibawa pulang ke Temerloh menaiki kereta seorang kenalan Abah.

Sepanjang perjalanan kami hanya mendiamkan diri. Saya merenung cermin di sebelah kanan, adik pula merenung cermin di sebelah kiri. Bermacam-macam andaian bermain di fikiran, namun saya cuba tepis andaian2 tersebut biarpun ia dirasakan mungkin logik.

Sekejap2 pakcik itu menjawab panggilan telefon. Daripada perbualannya, saya dapat mengagak kami perlu tiba selewat-lewatnya pukul 3 petang. Kalau tidak? Saya sendiri tak dapat mengagak.

Dapat mesej dari Ummi Shahbatun,
"Aisyah terus balik rumah Tok ya. Tak payah pergi hospital"

Hati bertambah-tambah tak sedap. Fikiran cuba menepis-nepis andaian yg mungkin benar. Saya cuba juga utk positif. Sampai sahaja persimpangan keluar tol Temerloh, pakcik bersuara,
"Aisyah..Fatimah.. Pakcik nak beritahu sesuatu ni. Bersabarlah ya. Setiap ujian dan dugaan tu pasti ada hikmahnya. Sebenarnya Ummi Aisyah dan Fatimah dah tak ada.. Sabar ya..."

Saya dan adik diam tak menjawab sepatah pun! Benarlah telahan saya kini.

Belum pun tiba di rumah Tok, kami berselisih dengan beberapa orang kenalan Ummi.
"Terus ke masjid ya.." kata mereka.

Kami terus berpatah balik ke masjid. Setibanya di masjid, saya yg masih lagi tenang terus turun dari kereta dan bersalaman dengan beberapa orang kenalan Ummi dan ibu saudara yg berada di luar masjid. Soalan pertama saya,
"Ummi mana?"
Ibu saudara terus memeluk saya seeratnya.
"Ummi dah takda sayang.. Orang tengah solat jenazah kat dalam"

Allah...Allah.... Tiada apa yg mampu utk saya ucapkan. Saya tahu Ummi dah tiada. Namun saya seolah-olah baru tersedar dari mimpi bila mendengar bait-bait perkataan ibu saudara. Seolah saat itulah baru saya diberitakan tentang pemergian Ummi!

Saya menangis semahunya. Saat ini terlepaslah segala perasaan yg dipendam selama ini. Saya teringin sangat nak lihat Ummi buka mata, dan kami berbual-bual seperti selalu. Hajat ini tidak kesampaian. Sejak dulu lagi saya teringin sangat memandikan jenazah arwah Ummi andai Ummi pergi dulu dari saya. Hajat ini juga tidak kesampaian.

Saya rasa seperti susah untuk menerima kenyataan yg saya terlewat tiba. Saya tiba selepas segalanya hampir selesai. Saya tak mahu terlepas lagi. Adik-beradik bertaburan. Abah dikelilingi rakan2 utk menguatkannya. Cepat2 saya menitip pesan entah kepada siapa,
"Saya nak cium jenazah Ummi. Jangan kebumikan selagi saya belum tiba"
Dan sepantas kilat saya mencari kenderaan utk ditumpangi ke tanah perkuburan. Adik beradik yg lain juga begitu. Kami tak mengira siapa2 lagi. Asalkan ada kereta yg kosong, kami naik sahaja.

Saya antara yg terakhir tiba di tanah perkuburan. Macam2 dugaan yg Allah hantar di saat2 begitu. Mujur juga orang tadi sempat menyampaikan pesanan saya.

Sesampai di tepi kubur, semua sedang menunggu saya. Jenazah Ummi kaku di situ. Abah duduk berteleku di sebelah sambil menundukkan muka.
"De dah bersedia nak cium?"
Saya mengangguk.
Abah membuka sedikit kain kapan di muka Ummi. Ternampaklah wajah Ummi yg tidak pernah saya bayangkan selama ini. Mata tertutup rapat..kedua-dua lubang hidung disumbat dengan kapas. Mulut juga begitu. Dagu diikat kemas agar mulut tidak terbuka.

Saya terus terlentok di bahu Along dan menangis sepuas-puasnya. Saya seperti tidak percaya melihat jenazah arwah Ummi di depan mata. Susah utk saya menerima kenyataan ini! Air mata tidak berhenti mengalir, deras seperti air paip sehingga saya membatalkan hasrat ingin mencium jenazah.

Abah hanya tertunduk menanti semuanya reda. Tok segera datang ke sisi saya dan berkata dengan sepenuh perasaan,
"De taknak cium ke Ummi buat kali terakhir?? Ini last dah ni. Lepas ni takkan dapat cium dah. Betul ni taknak??"
Saya diam. Bukan saya tak mahu. Tapi saya tak mahu mencemarkan jenazah yg telah suci bersih itu dengan air mata. Air mata ini tak mahu berhenti.. Lagi dikesat lagi dia keluar.
"Ciumlah De.. Kesian Ummi..."
Tok seakan merayu. Saya mengangguk, air mata dikesat berkali-kali dengan kain tuala. Akhirnya dengan penuh berhati-hati, saya tunduk dan mencium dahi Ummi dengan penuh kasih sayang! Buat kali yg terakhir... Itulah peluang terakhir yg tidak akan saya dapat lagi sampai bila-bila. Dahi Ummi yg sejuk, saya ingat hingga kini.

Allah.....Beratnya mahu meneruskan coretan ini.......

Selepas mencium Ummi, kami adik-beradik hanya diam memerhatikan jenazah dikebumikan. Siapa pun tidak bersuara. Rasa sedih, sayu, melihat mereka menurunkan jenazah dan perlahan-lahan memasukkannya ke dalam liang lahad. Satu persatu proses pengkebumian, semuanya masih segar diingatan saya.

Pulang ke rumah, kami terasa sangat kosong. Rumah itu seolah sudah hilang serinya.
Tiada lagi jasad Ummi yg selalu terlena di sofa panjang.
Tiada lagi air tangan Ummi yg amat enak utk kami nikmati.
Tiada lagi suara Ummi menegur kami adik beradik yg sering beramuk bertaki menegakkan hak dan pendapat masing2.
Tiada lagi renungan mata dan senyuman Ummi saat kami berkongsi cerita.
Tiada lagi pelukan Ummi saat kami meluah rasa.
Tiada lagi alunan suara merdu Ummi saat kami membaca mathurat beramai-ramai...

Ummi....
Nama itu, wajah itu,
yg sarat dengan kasih sayang, yg penuh dengan kelembutan,
Tidak akan pernah luput dari ingatan ini.....

Kamu...
Yg masih punya Ibu,
Hargailah dia. Sayangilah dia.
Titik.

Published with Blogger-droid v2.0.9

3 comments:

esiana said...

Sabar ya sayang..

zahra_wardah said...

de,jgn la buat entry sdih2..kite yg hdup kne truskn hdup.jgn smpai kite bg saham yg xbaik utk ummi kt sana..hrp ank2 kite nnti pn fhm,sdih n murung bkn bukti tnda kite syg kt ummi..tp jd ank yg soleh,doakan slalu..smga Allah satukn kmbali kite smua d syurgaNYA kelak...

Bila seorg istri mninggal,n suaminya redha pdnya,masuklah ia dlm syurga dr mana2 pintu yg dia mahu...
(hadis Nabi Sallallahu 'alaihi wasallam..)

Unknown said...

Esiana: tima kasih mama :)
Zahra_wardah: Entry ni adalah sbg catatan utk mengenang saat itu shj. Sbg anak biasalah, ada masa kita teringat. Doa itu sudah pasti. Malah bkn kena doakan utk yg dah tiada shj, yg masih hidup pun kita kena doakan sbgmn kita mendoakan ibu bapa kandung kita sendiri.