CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Followers

Thursday, August 9, 2012

Cerita Ummi: BENJO

Gambar hak milik MAT GEBU DTS *ihsan google

Ketika di sekolah rendah, seorang kawan bernama Zafizah jarang sekali tidak membawa bekal ke sekolah atau boleh dikatakan tidak pernah. Setiap hari ada sahaja yang dibekalkan oleh ibunya. Kadang-kadang nasi goreng, nasi lemak, mee goreng, roti, dan berbagai lagi.

Suatu hari dia mempelawa saya makan bersama bekal yang dibawanya. Ada roti yang dimakan bersama telur goreng, timun, tomato, dan sedikit sos cili. Saya tertanya-tanya makanan apakah ini? Rupanya agak comot, tapi rasanya amat sedap sekali! Beberapa hari kemudian, Zafizah membawa menu yang sama. Masih mempelawa saya menikmati bersama.

Setelah beberapa kali merasainya saya semakin teruja ingin tahu, apa ini? Sedapnya.. Saya mesti cuba membuatnya! Tekad saya di dalam hati. Pulang dari sekolah, saya ke dapur membuka peti ais melihat-lihat apa yang ada. Timun ada. Tomato juga ada. Ini sudah baik! Saya menggoreng sebiji telur, lapikkan atas roti gardenia, letak hirisan timun dan tomato, akhir sekali sos cili dan sedikit sos tomato. Lalu dilapikkan dengan sekeping lagi roti. Siap.

Suapan pertama masuk ke dalam mulut...

Wah, sama! Rasanya sama dengan yang Zafizah bawa! Seronoknya saya hanya Tuhan yang tahu. Saya makan dengan penuh berselera. Habis satu, saya ke dapur dan membuatnya lagi satu! Hahaha...kerana terlalu seronok, saya makan 2 biji benjo dalam satu masa.

Petang itu setelah Abah dan Ummi pulang dari sekolah, mulut saya becok bercerita tentang kepandaian menyediakan roti telur itu  dengan penuh rasa bangganya! Ummi tersenyum sambil memberitahu,

"roti itu namanya benjo"
"Ooooo..."

Dan nama itu terus melekat di dalam kepala saya sehingga ke hari ini. Pengalaman manis yang tidak dapat dilupakan.


No comments: